Bosch Automotive Aftermarket Malaysia (Bosch AA), sebuah pembekal utam bertaraf global dalam teknologi dan perkhidmatan automotif memperkenalkan kempen 'Drive for Life'. Ini merupkan satu kempen keselamatan kereta dan jalan raya. Dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran di kalangan pemandu mengenai kepentingan penyelenggaraan kenderaan secara berkala serta penggunaan alat ganti kereta yang berkualiti. Pelancaran kempen ini dirasmikan oleh Menteri Pengangkutan dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
"Menerusi kajian yang telah dilakukan pada tahun 2018, lebih 50 peratus daripada pemandu Malaysia kurang pengetahuan dalam penyelenggaraan asas kereta dan kesannya kepada keselamatan penumpang, kereta dan jalan raya. Melalui kempen 'Drive for Life', Bosch membawa kepakaran automotifnya untuk melengkapkan pemandu dengan pengetahuan penyelenggaraan asas kenderaan apabila pemandu menghadapi masalah kereta, " kata Marcio Coelho, Pengarah Jualan dan Perkhidmatan Pemasaran Bosch Automotive Aftermarket untuk Asia Pasifik Tenggara.
"Di Bosch, kami berusaha ke arah matlamat jalan raya bebas kemalangan dan kempen ini melengkapi matlamat Kementerian Pengangkutan untuk mengurangkan kemalangan jalan raya".
'Drive for Life' adalah kempen selama tiga tahun yang akan dilaksanakan dalam tiga fasa - Mendidik, Melibatkan dan Memperkasa. Antara aktiviti termasuk siri bengkel mendidik pemandu tentang penyelenggaraan asas kereta, mempertingkatkan kurikulum memandu dengan tips praktikal untuk pemandu kali pertama menerusi kerjasama dengan pihak-pihak berkaitan, dan memperkasa mekanik generasi akan datang. Kempen ini juga akan melibatkan #BoschEmpowersWomen sebagai inisiatif untuk melahirkan idea bahawa penyelenggaraan kereta bukan hanya dikuasai oleh lelaki tetapi perlu dititkberatkan oleh semua orang.
Hasil kaji selidik yang sama, 70 peratus kerosakan kereta adalah disebabkan oleh kerosakan bateri. Bahkan kurang daripada 50 peratus daripada pemandu dan hanya satu peratus wanita mengetahui cara untuk menyelesaikan masalah kereta mereka semasa berlaku kerosakan.
"Penyelenggaraan kereta mungkin kelihatan sedikit menakutkan namun dengan melakukan perkara-perkara mudah seperti mengikut jadual servis kereta dan ambil perhatian terhadap bunyi dan bau yang luar biasa ketika memandu, pemilik kereta boleh meningkatkan kebolehpercayaan, jangka hayat, dan prestasi kereta. Lebih penting lagi, penjagaan dan penyelenggaraan kereta proaktif menggunakan alat ganti kereta yang berkualiti dapat mengurangkan risiko kemalangan di jalan raya," tambah Coelho.
Bekerjasama dengan Petron, kempen ini akan diperkasakan dengan menyediakan pemandu perkhidmatan pemeriksaan kenderaan percuma sebelum perjalanan 'balik kampung' mereka pada hujung minggu ketiga (25-26 Mei) dan hujung minggu keempat (18-19 Mei) bulan Mei di stesen Petron terpilih di Lembah Klang. Pemeriksaan itu akan melibatkan 25 poin pemeriksaan terhadap keadaan bateri, minyak enjin dan tahap cecair, dan bunga tayar dan ketebalan pad brek.
Ketua Hal Ehwal Korporat Petron Malaysia, Encik Zaimi Harun berkata, "Keselamatan adalah keutamaan Petron. Kami mahu membantu memastikan kenderaan di jalan raya adalah selamat untuk perjalanan jarak jauh, oleh itu dengan hanya pemeriksaan mudah boleh membantu mencegah kemalangan dan menyelamatkan nyawa. Kami sedang berusaha menawarkan pemeriksaan kenderaan di lebih banyak stesen dan juga bekerjasama dengan lebih ramai rakan kongsi yang berkongsi nilai yang sama. Ini membuktikan janji kami untuk menggalakkan keselamatan jalan raya.
“Pada tahun 2017, 533,875 kemalangan jalan raya yang mengundang kepada 6,740 kemalangan jiwa dilaporkan. Keselamatan jalan raya merupakan salah satu agenda utama kerajaan dan mengurangkan kemalangan jalan raya juga adalah satu matlamat utama kita. Kami amat gembira melihat usaha Bosch Automotive Aftermarket dan Petron untuk menggalakkan keselamatan kereta dan jalan raya serta akan menyokong inisiatif mereka ini sepenuh hati", tambah YB Anthony Loke, Menteri Pengangkutan.
Turut hadir pada majlis itu ialah Encik Simon Song, Pengarah Urusan Bosch Malaysia, Encik Pang Yoon Kong, Pengurus Negara Bosch Automotive Aftermarket Malaysia dan En Zaimi Harun, Ketua Hal Ehwal Korporat Petron Malaysia. Maklumat lanjut dan terkini mengenai kempen ini, layari Facebook Bosch Autoparts Malaysia (https://www.facebook.com/BoschAA.MY/).
Tiada ulasan:
Write comments