Sejajar dengan komitmen berterusan untuk memperkasakan gaya hidup sihat di Malaysia syarikat, komuniti dan platform kesihatan dan kesejahteraan terulung, Herbalife, telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR). Kerjasama ini bertujuan meningkatkan ilmu pengetahuan dan pengalaman praktikal dalam bidang kesihatan dan pemakanan dalam kalangan pelajar Fakulti Sains universiti tersebut.
Majlis memeterai MoU yang berlangsung di kampus utama UTAR di Kampar, Perak disempurnakan oleh Steven Chin, Pengarah Kanan merangkap Pengurus Besar Herbalife Malaysia dan Singapura, serta Dr. Lim Tuck Meng, Dekan Fakulti Sains, UTAR.
Dalam tempoh dua tahun akan datang, Herbalife dan UTAR akan berganding bahu dalam pelbagai inisiatif bermakna untuk menambah baik kesihatan dan pemakanan. Usaha ini merangkumi perkongsian kepakaran dan maklumat tentang kesihatan umum, pemakanan dan kesejahteraan, dan juga bekerjasama dalam projek penyelidikan dan berkongsi hasil penemuan menerusi jurnal akademik, persidangan dan platform industri. Kerjasama ini juga melibatkan penganjuran bersama acara-acara seperti seminar, bengkel dan ceramah untuk meningkatkan kesedaran tentang pemakanan dan gaya hidup sihat. Di samping itu, kedua-dua pihak akan berganding bahu untuk menawarkan kursus singkat yang diiktiraf kepada para pengedar Herbalife, sambil membuka lebih banyak peluang kepada pelajar UTAR menerusi latihan amali dan program penempatan pelajar yang menyediakan pendedahan secara langsung kepada industri.
Bagi memulakan kerjasama tersebut, majlis MoU ini merangkumkan sesi perkongsian ilmu oleh pakar-pakar pemakanan daripada Herbalife bersama para pelajar dalam bidang dietetik dan pemakanan. Sesi tersebut dimulakan oleh Dr. Rimbawan, anggota Lembaga Penasihat Pemakanan Herbalife, yang hadir khas dari Indonesia untuk berkongsi manfaat protein untuk membantu mengawal berat badan dalam jangka panjang. Dalam perkongsiannya, beliau menyentuhperanan protein untuk mengekalkan jisim otot, menggalakkan rasa kenyang dan menyokong kesihatan metabolik.
Dr. Rimbawan menekankan bahawa perbincangan tentang pengurusan berat kini semakin relevan. Gaya hidup moden yang dipengaruhi oleh waktu kerja yang panjang, masa skrin yang tinggi, serta kemudahan penghantaran makanan telah menyebabkan aktiviti fizikal harian semakin berkurangan, menjadikan kenaikan berat badan sesuatu yang semakin sukar dielakkan.
Di samping itu, sesi perkongsian ilmu juga meliputi ceramah oleh Clare Lim, Pakar Pemakanan & Jurulatih Produk, Herbalife Malaysia & Singapura (Pakar Pemakanan Berdaftar MAHPC). Sesi beliau bertajuk Makan Sihat Awal Pagi: Kesejahteraan Bermula Dengan Sarapan, yang memberi tumpuan terhadap betapa pentingnya sarapan berkhasiat, satu peringatan penting bagi pelajar yang sering mengabaikan sajian pertama mereka lazimnya disebabkan jadual yang sibuk.
Di majlis menandatangani MoU, Steven Chin, mengulas, “Sebagai sebuah syarikat pemakanan global, kami komited untuk membantu masyarakat menjalani kehidupan lebih sihat. Kerjasama kami dengan universiti-universiti tempatan selama ini telah memberikan kami peluang untuk berkongsi ilmu, menggalakkan amalan lebih sihat dan mencetus impak yang lebih bermakna. Kami teruja untuk berganding bahu dengan UTAR buat kali pertama dan berhubung dengan komuniti pelajar yang lebih luas di seluruh Malaysia.”
“Menyedari bahawa universiti hari ini perlu mencapai KPI yang mengutamakan kebolehpasaran graduan, inisiatif yang kami laksanakan seperti ceramah keusahawanan dirangka untuk meningkatkan kesedaran pelajar tentang industri pemakanan dan kesejahteraan yang sedang pantas berkembang di Malaysia. Dengan berkongsi ilmu industri dan peluang dunia sebenar, kami berusaha membantu pelajar mengasah kemahiran relevan dan meneroka laluan kerjaya atau perniagaan yang berkaitan. Kami mengharapkan keputusan positif daripada kerjasama ini dan bertekad untuk meluaskan impak kepada lebih ramai pelajar di seluruh negara,” tambahnya.
Di majlis tersebut Dr. Lim Tuck Meng, berkata “Sebagai sebahagian daripada misi untuk menjadi universiti global yang cemerlang dalam bidang pendidikan dan penyelidikan yang mencetus impak sosial bermakna, kami mengalu-alukan kerjasama yang mencipta nilai sebenar bagi pelajar kami. Kami sukacita untuk berganding bahu dengan Herbalife dan memanfaatkan ilmu dan kepakaran profesional bertaraf dunia, menimba ilmu dan kemahiran yang melangkaui pelajaran dalam.dewan kuliah”
“UTAR juga mempunyai rekod pencapaian penyelidikan kukuh dalam bidang kesihatan dan pemakanan, termasuk kajian terbaharu menilai faktor kemasyarakatan yang mempengaruhi penggunaan suplemen untuk mengurangkan berat badan, trend pemakanan baharu muncul, dan persepsi pelanggan tentang rangkaian pengedaran berkaitan pemakanan. Usaha penyelidikan ini, yang diterajui oleh kakitangan dan pelajar yang berdedikasi, memang sejajar dengan misi Herbalife untuk menyediakan penyelesaian kesihatan berlandaskan sains yang mudah didapati. Justeru, kerjasama ini tepat pada masanya dan merupakan langkah strategik untuk meneruskan usaha penyelidikan UTAR, membuka peluang baharu bagi menjalankan kajian bersama, berkongsi data dan mempelopori inovasi dalam bidang sains pemakanan,” tambah beliau lagi.
Perkongsian yang baru terjalin ini mendapat sambutan positif daripada para pelajar. Joanna Cheah Hsin Yee, 23, yang berasal dari Fakulti Sains dan dalam tahun ketiga mengikuti Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Dietetik, berkongsi, “Perkara yang paling menggembirakan saya tentang perkongsian UTAR–Herbalife ialah potensi latihan amali, yang akan memberi kami pendedahan berharga kepada profesional industri untuk kerjaya masa depan kami.”
Sementara itu, Lim Wei Jun, pelajar Fakulti Perniagaan dan Kewangan berusia 20 tahun, berkata sesi perkongsian itu memberi pandangan dalam memperbaiki tabiat pemakanan dan fizikalnya sendiri. "Sebagai pelajar perakaunan, tekanan menyebabkan kita makan lebih banyak dan tidak selalu sihat. Terima kasih kepada Herbalife, hari ini saya telah belajar cara makan dengan betul dan menguruskan pengambilan pemakanan harian saya," katanya.
Dalam tempoh lima tahun lepas, Herbalife giat bekerjasama dengan universiti dan badan tempatan, melibatkan lebih daripada 5,000 pelajar, atlet dan profesional kesihatan masa depan di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Putra Malaysia (UPM), dan Persatuan Pemakanan Malaysia (NSM). Herbalife juga bekerjasama rapat dengan organisasi profesional seperti Institut Sukan Negara, Persatuan Perubatan Sukan Malaysia (MASM), dan Persatuan Senaman dan Sains Sukan Malaysia (MESSA) untuk mempromosikan sains pemakanan dan kesihatan awam di Malaysia.
Tiada ulasan:
Write comments