Jumlah Paparan Halaman

Memaparkan catatan dengan label Perak. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Perak. Papar semua catatan

23 Oktober 2026

KIC Perluas Kapasiti Industri Pacu Pertumbuhan Ekonomi Perak

 
Kerian bakal melonjak ke tahap ekonomi yang lebih dinamik menerusi pembangunan Kerian Industrial City (KIC) di Dennistown, yang dijangka membuka peluang baharu dalam pertumbuhan industri, menarik pelaburan serta memperkasa perusahaan tempatan.



Dengan keluasan 287 ekar dan nilai pembangunan kasar (GDV) sekitar RM700 juta, KIC dijangka mewujudkan 12,000 peluang pekerjaan, selain membuka ruang kepada pelabur, pengusaha industri dan penyedia perkhidmatan sokongan untuk mengembangkan operasi di Kerian, sekali gus merancakkan pertumbuhan ekonomi setempat dan memperluas impak positifnya kepada negeri Perak.

Dengan selesainya proses pengambilan tanah bagi pembangunan, serta kelulusan Kebenaran Merancang (KM), pembangunan KIC merupakan langkah strategik dalam memperluas kapasiti perindustrian Kerian, melengkapi kawasan perindustrian sedia ada dan menyediakan lebih ruang bagi pertumbuhan industri yang lebih mampan pada masa hadapan.

Kerian yang berada di Wilayah Utara Perak, mempunyai asas perindustrian yang kukuh, dengan Kawasan Perindustrian Parit Buntar menjadi antara pemacu aktiviti pembuatan dan industri sokongan di daerah ini. Pembangunan KIC pula akan menaikkan potensi Kerian untuk berkembang melangkaui fungsi kediaman dan komuniti, seiring dengan perkembangan sektor perindustrian. Penyediaan ruang dan kapasiti baharu yang bakal dilengkapi infrastruktur bersesuaian menjadi penting bagi menampung keperluan pengembangan industri serta menarik pelaburan baharu.



Menteri Besar Perak, YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad, berkata pembangunan KIC merupakan langkah strategik untuk memperkukuh kapasiti ekonomi Kerian, di samping memperluas peluang pelaburan dan memastikan manfaat pertumbuhan industri dapat dinikmati oleh rakyat setempat. 

“Sudah tiba masanya untuk Kerian memperkasa kekuatan ekonominya dan beralih daripada sektor pertanian kepada industri bernilai tinggi. Kerian kini perlu bersedia melangkah ke era baharu, daripada kekuatan pertanian kepada industri bernilai tinggi. KIC bukan sekadar pembangunan perindustrian, tetapi menjadi pemangkin pelaburan, mencipta peluang ekonomi seterusnya mewujudkan kemakmuran kepada rakyat selari dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030 untuk membina negeri yang maju, berdaya saing dan sejahtera,” kata beliau.

“Kerajaan Negeri mahu melihat pembangunan industri di Kerian berkembang secara terancang, dengan KIC dan Kerian Integrated Green Industrial Park (KIGIP) memainkan peranan yang saling melengkapi dalam membentuk ekosistem perindustrian yang lebih bersepadu dan berdaya saing. Pertumbuhan ini perlu diterjemahkan kepada peluang pekerjaan, pembangunan kemahiran dan peluang perniagaan yang lebih luas kepada perusahaan tempatan,” tambah Dato’ Seri Saarani.

Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk), Datuk Redza Rafiq Abdul Razak, berkata, “Kedudukan strategik KIC yang terletak kira-kira enam kilometer dari Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM), 9.3 kilometer dari Institut Kemahiran Tinggi PERDA dan 15.6 kilometer dari Kolej Vokasional Kerian membuka peluang luas untuk kerjasama industri dalam pengambilan jurutera, tenaga kerja teknikal dan pelatih industri, selain pelaksanaan penyelidikan gunaan bagi memenuhi keperluan sektor swasta.”



“Kita mahu kejayaan KIC membawa manfaat dengan mewujudkan peluang pekerjaan yang membolehkan anak-anak Perak membina kerjaya dan masa depan yang lebih baik di negeri sendiri. Melalui kerjasama strategik antara pemain industri dan institusi pendidikan, ia dapat merealisasikan potensi ini, selaras dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030,” kata Datuk Redza Rafiq.

Manakala Dato’ Yong Chai Seng, Pengarah Urusan Asia Bina Group pula berkata, “Kejayaan KIC bukan sekadar diukur berdasarkan keupayaannya menarik pelaburan, tetapi juga sejauh mana pembangunan ini membuka peluang kepada vendor, pembekal, kontraktor dan perusahaan tempatan untuk menyertai rantaian bekalan industri. Melalui kerjasama erat antara semua pihak, kita mahu memastikan perusahaan tempatan berpeluang mengembangkan kapasiti dan keupayaan mereka, sekali gus membolehkan manfaat pembangunan ini dan dinikmati secara berterusan oleh masyarakat setempat.”

Usaha merancakkan pertumbuhan ekonomi di utara Perak turut disokong oleh perancangan jajaran jalan baharu oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) yang akan menghubungkan susur keluar Tol Bandar Baharu terus ke KIGIP. Laluan ini dijangka memperkukuh akses ke KIC serta meningkatkan hubungan dengan kawasan perindustrian sekitar dan Parit Buntar. Kesalinghubungan yang lebih baik bakal melancarkan pergerakan logistik, meningkatkan kecekapan rantaian bekalan dan memperkukuh ekosistem perindustrian Kerian. Walau bagaimanapun, jajaran muktamad dan jadual pelaksanaan masih tertakluk kepada penelitian serta pengesahan JKR dan pihak berkuasa berkaitan.

KIC merupakan sebahagian daripada rangkaian pembangunan ekonomi Perak yang turut merangkumi Automotive High Technology Valley (AHTV), Lumut Maritime Industrial City (LuMIC), Silver Valley Technology Park (SVTP) dan KIGIP. Setiap kawasan mempunyai fungsi dan kekuatan tersendiri, membentuk kapasiti ekonomi negeri yang lebih luas merangkumi sektor automotif, teknologi, maritim, pembuatan dan industri hijau.








Hey, we've just launched a new custom color Blogger template. You'll like it - https://t.co/quGl87I2PZ
Join Our Newsletter